Friday, August 21, 2009

Tidak Ada Pembujangan Dalam Islam

Tidak Ada Pembujangan Dalam Islam

ISLAM berpendirian tidak ada pelepasan kendali gharizah seksual untuk dilepaskan tanpa batas dan tanpa ikatan. Untuk itulah maka diharamkannya zina dan seluruh yang membawa kepada perbuatan zina. Tetapi di balik itu Islam juga menentang setiap perasaan yang bertentangan dengan gharizah ini. Untuk itu maka dianjurkannya supaya kahwin dan melarang hidup membujang dan kebiri.

Seorang muslim tidak halal menentang perkahwinan dengan anggapan, bahawa hidup membujang itu demi berbakti kepada Allah, padahal dia mampu kahwin; atau dengan alasan supaya dapat seratus persen mencurahkan hidupnya untuk beribadah dan memutuskan hubungan dengan duniawinya.

Nabi memperhatikan, bahawa sebahagian sahabatnya ada yang kena pengaruh kependetaan ini (tidak mahu kahwin). Untuk itu maka beliau menerangkan, bahawa sikap semacam itu adalah menentang ajaran Islam dan menyimpang dari sunnah Nabi. Justru itu pula, fikiran-fikiran Kristian semacam ini harus diusir jauh-jauh dari masyarakat Islam.

Abu Qilabah mengatakan: "Beberapa orang sahabat Nabi bermaksud akan menjauhkan diri dari duniawi dan meninggalkan perempuan (tidak kahwin dan tidak menggaulinya) serta akan hidup membujang. Maka berkata Rasulullah s.a.w, dengan nada marah lantas ia berkata: 'Sesungguhnya orang-orang sebelum kamu hancur lantaran keterlaluan, mereka memperketat terhadap diri-diri mereka, oleh kerana itu Allah memperketat juga, mereka itu akan tinggal di gereja dan kuil-kuil. Sembahlah Allah dan jangan kamu menyekutukan Dia, berhajilah, berumrahlah dan berlaku luruslah kamu, maka Allah pun akan meluruskan kepadamu.'"

Kemudian turunlah ayat: “Hai orang-orang yang beriman! Jangan kamu mengharamkan yang baik-baik dari apa yang dihalalkan Allah untuk kamu dan jangan kamu melampaui batas, kerana sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.” (al-Maidah: 87) -- (Riwayat Abdul Razzaq, Ibnu Jarir dan al-Mundziri)
Mujahid berkata: Ada beberapa orang laki-laki, di antaranya Usman bin Madh'un dan Abdullah bin Umar bermaksud untuk hidup membujang dan berkebiri serta memakai kain karung goni. Kemudian turunlah ayat di atas "Ada satu golongan sahabat yang datang ke tempat Nabi untuk menanyakan kepada isteri-isterinya tentang ibadahnya. Setelah mereka diberitahu, seolah-olah mereka menganggap ibadah itu masih terlalu sedikit.

Kemudian mereka berkata-kata satu sama lain: di mana kita dilihat dari pribadi Rasulullah s.a.w. sedang dia diampuni dosa-dosanya yang telah lalu mahupun yang akan datang? Salah seorang di antara mereka berkata: Saya akan puasa sepanjang tahun dan tidak akan berbuka. Yang kedua mengatakan: Saya akan bangun malam dan tidak tidur. Yang ketiga berkata: Saya akan menjauhkan diri dari perempuan dan tidak akan kahwin selama-lamanya. Maka setelah berita itu sampai kepada Nabi s.a.w. ia menjelaskan tentang kekeliruan dan tidak lurusnya jalan mereka, dan ia bersabda: 'Saya adalah orang yang kenal Allah dan yang paling takut kepadaNya, namun tokh saya bangun malam, juga tidak, saya berpuasa, juga berbuka, dan saya juga kahwin dengan perempuan. Oleh kerana itu barangsiapa tidak suka kepada sunnahku, maka dia bukan dari golonganku.'" (Riwayat Bukhari)

Said bin Abu Waqqash berkata: "Rasulullah s.a.w. menentang Usman bin Madh'un tentang rencananya untuk membujang. Seandainya beliau mengizinkan, niscaya kamu akan berkebiri." (Riwayat Bukhari) Dan Rasulullah juga menyerukan kepada para pemuda keseluruhannya supaya kahwin, dengan sabdanya sebagai berikut: "Hai para pemuda! Barangsiapa di antara kamu sudah mampu kahwin, maka kahwinlah; kerana dia itu dapat menundukkan pandangan dan menjaga kemaluan." (Riwayat Bukhari)

Dari sini, sebahagian ulama ada yang berpendapat: bahawa kahwin itu wajib hukumnya bagi setiap muslim, tidak boleh ditinggalkan selama dia mampu. Sementara ada juga yang memberikan pembatasan --wajib hukumnya-- bagi orang yang sudah ada keinginan untuk kahwin dan takut dirinya berbuat yang tidak baik. Setiap muslim tidak boleh menghalang-halangi dirinya supaya tidak kahwin kerana khuwatir tidak mendapat rezeki dan menanggung yang berat terhadap keluarganya. Tetapi dia harus berusaha dan bekerja serta mencari anugerah Allah yang telah dijanjikan untuk orang-orang yang sudah kahwin itu demi menjaga kehormatan dirinya.

Janji Allah itu dinyatakan dalam firmanNya sebagai berikut: “Kahwinkanlah anak-anak kamu (yang belum kahwin) dan orang-orang yang sudah patut kahwin dari hamba-hambamu yang laki-laki ataupun hamba-hambamu yang perempuan. Jika mereka itu orang-orang yang tidak mampu, maka Allah akan memberikan kekayaan kepada mereka dari anugerahNya.” (an-Nur 32)

Sabda Rasulullah s.a.w.: "Ada tiga golongan yang sudah pasti akan ditolong Allah, iaitu:

(1) Orang yang kahwin dengan maksud untuk menjaga kehormatan diri;
(2) seorang hamba mukatab yang berniat akan menunaikan; dan
(3) seorang yang berperang di jalan Allah." (Riwayat Ahmad, Nasa'i, Tarmizi, Ibnu Majah dan al-Hakim)

*http://halaqah.net/v10/index.php?PHPSESSID=86c44f47091504dd7c9363815ca333bb&topic=234.0

No comments:

Post a Comment